Wednesday, January 28, 2009

Mansuh semua sayap UMNO?...


Tengku Rithaudeen -"Saya fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi main (guna) duit."


Walaupun politik wang (atau lebih tepat lagi, rasuah) amat membimbangkan dalam usaha untuk membangkitkan kembali keutuhan UMNO, saya kira tak payah disarankan supaya sayap muda Puteri UMNO dan Putera UMNO dimansuhkan. Ini bukan caranya.

"Marahkan nyamuk, kelambu dibakar" tidak boleh diambil pakai. Seperti jugalah dalam perang habis-habisan ke atas wabak denggi yang berlaku sekarang. Bagaimana tindakan perlu di ambil ke atas mereka yang enggan patuh kepada peraturan supaya dibersihkan sekitar kawasan kediaman, kilang dan sebagainya, begitu jugalah usaha pesat pembersihan perlu disokong oleh semua pihak dalam UMNO tanpa mengambilkira sayap. Ia perlu menjadi komitmen yang ikhlas dan bukan sekadar sandiwara. Keikhlasan boleh dicetuskan apabila kita bertanyakan kepada suara hati sebagai seorang Islam...bukankah mungkin segala negatif yang berlaku dalam UMNO sekarang ini amaran Allah?

Dan jika ia amaran, apa kata kita berusaha melakukan sesuatu berpandukan iktibar?

Yang penting di sini ialah individu itu sendiri. Kita tepuk dada dan tanya selera. Sikap pincang individu yang patut dibanteras dan bukan mencantas sekali pucuk sihat yang jelas berpotensi untuk tumbuh segar sekiranya dibelai dan dipupuk dengan penuh komitmen.

Rasional Tengku Rithaudeen keterlaluan, tetapi jika disorot di sebalik maksud nyata itu, kita akan mendapati satu mesej yang begitu positif. Satu mesej yang mencabar seluruh ahli Putera dan Puteri UMNO supaya berusaha lebih kuat untuk membuktikan tahap integriti masing-masing...apa sumbangan anda kepada misi mulia ini?

Kecaman, kritikan balas yang reaktif tidak sepatutnya menjadi modal sebagai reaksi saranan Tengku Rithaudeen.

Tuesday, November 11, 2008

Rafidah akhirnya dicabar Shahrizat ekoran suara akar-umbi


Kurang 24 jam pergerakan Wanita UMNO mengadakan mesyuarat Exco, dua pemimpin kanan kini membayangkan ada pertandingan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.

Alhamdullilah...bagus tu. Demokrasi dalam Wanita UMNO kembali bernafas setelah beberapa dekad dipeti-sejukkan.

Mengambil kira kenyataan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalin dan Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim hari ini, pergerakan itu juga bakal menyaksikan pertandingan.

Shahrizat berkata, dia masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Putera sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

"Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.

"Seterusnya jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua Wanita terpaksa dikosongkan.

"Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini," katanya.

Tuesday, September 23, 2008

Ramadan bererti negara selamat?


Berikutan penahanan Raja Petra Kamaruddin, RPK, selama dua tahun di bawah ISA, ramai blogger yang menyuarakan bantahan.

Ada yang jelas meluahkan hati secara picisan tanpa memikir sedalam-dalamnya rentetan peristiwa, perlakuan dan keengganan bertindak di pihak RPK sendiri sebelum ditahan.

Ada juga blogger yang mencelah mengatakan tindakan ke atas RPK sesuatu yang zalim dan tidak sepaptutnya berlaku di bulan Ramadan. Tidak boleh? Mengapa? Alasannya kerana ini bulan yang keramat dan mulia.

Memang betul ini bulan keramat, mulia dan penuh dengan segala keberkatan, tetapi apa pula jika manusia tidak mempedulikan hakikat ini dan terus melakukan pelbagai perbuatan yang berpotensi menggugat kestabilan masyarakat?

Ramadan bulan mulia yang sentiasa tiba tepat pada waktunya setiap tahun.

RPK menghadapi tindakan dipertengahan Ramadan, tetapi apa pula cerita dengan perlakuannya pada awal Ramadan?

Pada bulan Rejab, antara lain, RPK juga pernah menulis dan menyiarkan artikel dan 'pendedahan' yang mengundang pelbagai komen pembaca. Segala komen-komen itu jelas menyakitkan hati masyarakat Melayu selain cuba memalukan agama Islam.

Pada saya persoalannya bukan apa yang didakwa dilakukan oleh RPK, tetapi apa yang TIDAK dilakukan oleh RPK.

Malaysia-Today yang dikendalikan oleh RPK berupa satu portal online yang memapar dan mengupas dakwaan terhadap pelbagai pihak, termasuk kerajaan, orang Melayu dan agama Islam.

Paparan segala artikel dan analisis yang begitu berat sebelah hanya satu aspek ketidakmatangan dan kebiadaban pihak 'sidang pengarang'. Di penjuru lain pula yang lebih buruk ialah kerana RPK membiarkan para penyumbang memberi komen kepada artikel dan analisis yang tersiar tanpa penapisan.

Komen-komen yang dikemukakan hampir kesemuanya berunsur 'ganas' dan tidak berlapik hinggakan kebanyakannya begitu berani mempersendakan agama Islam dan sensitiviti orang Melayu.

Di sinilah letaknya kesalahan RPK. Apa yang tidak dilakukannya boleh diertikan sebagai satu 'omission' yang menyumbang terus kepada interpretasi ancaman kestabilan masyarakat dan seterusnya, negara.

Ini tidak boleh dinafikan kerana ia begitu ketara. Layarilah Malaysia-Today dan lihat segala komen yang tersiar. Jika sebahagian besar masyarakat Melayu di luar bandar mampu membaca dan memahami segala kandungan jijik mengenai agama Islam dan orang Melayu dalam laman itu, entahlah apa yang boleh berlaku...

Oleh itu, penahanan RPK tidak boleh dilihat dengan sebelah mata. Ia perlu dilihat dengan pemikiran terbuka dan bukan hati yang buta semata-mata.

RPK sememangnya tahu apa yang bakal diterimanya bersabit segala yang dilakukan atau yang TIDAK dilakukan.

Saturday, September 13, 2008

ISA: Mudah menuding jari...


Kita sedar isu perkauman begitu sensitif di Malaysia, apatah lagi isu-isu berkaitan agama.

Walaupun penulis ini tidak menyokong tindakan menahan seseorang tanpa dibicarakan, namun jika dilihat dari perspektif lain apakah alternatif yang ada?Akta jenayah?Akta jenayah tidak sesuai dalam keadaan-keadaan tertentu.

Undang-undang buatan manusia seperti 'common law' dan lain-lain mudah diputar-belitkan. Seseorang yang bernasib baik mungkin akan dapat memboloskan diri dengan usaha seorang peguambela yang 'licik' menangani kes selain mencari lubang-lubang kelemahan teknikal.

Dalam keadaan ini undang-undang ISA juga boleh disalahgunakan, tetapi apakah kesan politiknya (political repercussions) jika dilakukan? Jadi tak mungkin kerajaan berfikiran sesingkat itu untuk sewenang-wenangnya menggunakan ISA.

Usaha menangani ketenteraman awam tidak boleh dilengahkan dan itu antara sebab undang-undang seperti ISA digunakan, bukan saja di Malaysia, malahan di Amerika, Britain, Singapura dan sebahagian besar negara di dunia.

Bagaimanapun, jika pembangkang dan mereka yang berfikiran ringkas mudah menuduh pihak kerajaan menggunakan ISA sebagai senjata, apakah mereka juga tidak menyedari akta tersebut juga mereka gunakan sebagai senjata untuk melawan kerajaan?

Penggunaan isu ISA sebagai senjata menentang kerajaan lebih dasyat kesannya kerana aktivis dan pembangkang sanggup menggadai maruah negara demi mendapatkan sokongan dan campur-tangan pihak luar...

Wartawan cemerlang?


Menurut akhbar The Star, pemberita Sin Chew Daily yang ditahan di bawah ISA,

Tan Hoon Cheng seorang 'wartawan' yang berpengalaman dan pernah memenangi anugerah cemerlang dalam bidangnya.

Apa yang diselit The Star itu tidak lain daripada 'subtle editorialising'. Dengan hanya seperenggan menceritakan latar-belakang sipemberita itu, akhbar tersebut telah dengan tidak secara langsung mempersoalkan perimbangan pihak berkuasa mengenakan tindakan ke atasnya. Memang tidak salah bagi akhbar sebagai 'estet keempat' mempersoalkan itu, tetapi apakah tujuan diselitkan maklumat itu dalam hal ini?

Rasionalnya, apakah seseorang yang begitu berpengalaman tidak mungkin dapat melakukan kesilapan? Tak mungkin! Dan ada pula yang mengatakan apa yang dilaporkan olehnya telah pun disemak dan disunting pihak editorial. Apa pula jika sidang pengarang juga bersekongkol?

Apa sekalipun, dia perlu bertanggung-jawab terhadap perlakuannya.

Alangkah baik jika dikemukakan bukti yang terkandung dalam buku nota pemberita, alat rakaman audio (jika ada) berhubung apa yang dilaporkan dan apa yang diterbitkan oleh Sin Chew Daily?

Apakah SOP (Standard Operating Procedure) dalam tugasan seorang pemberita?

Wednesday, September 10, 2008

Siapa lebih rasis?


Hanya disebabkan beberapa patah perkataan, seseorang itu boleh menjadi terkenal dalam sekelip mata.

Jika tidak kerana apa yang didakwa oleh seorang pemberita (bukan wartawan) Cina yang melaporkan untuk sebuah akhbar Cina mungkin tidak seorang pun di luar Pulau Pinang akan mengenali Ahmad Ismail, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera.

Kini dia umpama seorang selebriti. Tidak kiralah samada untuk sebab yang baik atau kurang baik nama Ahmad kini sudah dikenali – good publicity or bad publicity but publicity nevertheless.

Dalam keghairahan isu ini beberapa persoalan ditumbulkan...

(1) Benarkah Ahmad mengeluarkan kata-kata sepertimana yang didakwa oleh pemberita Cina itu? Mengapa tidak disiasat juga pemberita Cina itu?

(2) Tidakkah pemberita Cina itu mempunyai konflik kepentingan semasa mensensasikan berita berkenaan? Dia masih baru dalam profesion ini dan berbangsa Cina, justru kecenderungannya mudah sangatlah dibaca...

(3) Sekiranya benar kata-kata Ahmad itu berbaur perkauman, bagaimanapula dengan serangan balas oleh Gerakan yang juga berbaur perkauman? Serangan mencelah oleh MCA dan DAP pula bagaimana? Tidakkah semua parti politik ini mempunyai kepentingan sama seperti konflik yang dialami oleh pemberita Cina itu?

(4) Kenapakah Polis tidak mengambil tindakan segera dan tegas sekiranya kata-kata Ahmad berupa hasutan atau menghina, sedangkan kita semua tahu polis sentiasa memantau setiap ceramah secara peribadi semasa sesuatu pilihanraya atau pilihanraya kecil?

(5) Mengapakah Gerakan sudah berani mengugut hendak meninggalkan Barisan Nasional hanya kerana isu ini? Sekiranya Gerakan begitu kecewa dengan tindak tanduk Ahmad termasuklah keputusan sokongan padu kesemua 13 ketua Umno bahagian di Pulau Pinang kepada Ahmad, mengapa tidak terus sahaja tinggalkan Barisan daripada bertindak macam budak-budak – putuskan hubungan dengan UMNO Bukit Bendera, kemudian putuskan hubungan dengan UMNO Pulau Pinang...apa maksud semua ini?

Sekiranya sudah kecewa mengapa tidak terus keluar meninggalkan Barisan Nasional? Sekiranya mereka seseorang yang berakal, tidak perlu mengugut, terus keluar dan persetankan....itupun kalau berupaya...

(6) Kalau benar sudah muak dengan Barisan Nasional maka mengapa masih hanya putuskan hubungan dengan UMNO Pulau Pinang sedangkan masih ingin berada di bawah naungan Barisan Nasional di peringkat pusat?

Apakah dengan meninggalkan Barisan Nasional pusat maka beberapa ahli parlimen Gerakan akan kehilangan jawatan eksekutif? Jawatan-jawatan seperti Timbalan Menteri Penerangan (kebetulan Ketua Wanita Gerakan yang mahukan Ahmad ditahan di bawah ISA) dan jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan beberapa lagi jawatan yang lain. Bukankah majoriti pengundi di Parlimen Gerik itu Melayu?

Mudah sangat mengambil keputusan untuk hanya berkisar di Pulau Pinang kerana sudah tiada jawatan untuk Gerakan kerana dihalau keluar oleh masyarakat Cina yang sudah muak dengan politik Gerakan.

(7) Benarkah Gerakan bukan parti perkauman Cina? Sekiranya begitu mengapakah hanya pada Ahad 7 Sept 2008 barulah muncul seorang bukan Cina (berbangsa India) dipilih sebagai Pengerusi Gerakan Selangor? Berapa sangatkah bukan Cina mendapat tempat dalam Gerakan sejak ianya ditubuhkan pada 1969?

(8) Kita pernah dengar Gerakan melaungkan Bangsa Malaysia sebelum ini. Namun apakah mereka faham maksud dan intipati ungkapan itu. Sekurang-kurangnya tunjuklah teladan yang paling baik dengan (a) membuka pintu kepada lebih ramai orang bukan Cina untuk dilantik dan dipilih dalam kepimpinan parti dan (b) mulakan gerakan memansuhkan sekolah Cina yang menjadi satu daripada sebab utama mengapa wawasan Bangsa Malaysia tidak akan berjaya.

(9) Bolehkah Gerakan, dengan tiada lagi nama-nama hebat dalam barisan perjuangannya terus hidup atau berkubur setelah meninggalkan Barisan Nasional? Apabila seorang kepala parti itu ditolak oleh rakyat di kerusi parlimen maka, bisanya sebagai seorang pemimpin boleh dikatakan sudah tumpul.

Lihat sahajalah nasib seorang bekas menteri yang berbangsa India. Apakah orang peduli apa yang keluar daripada mulutnya termasuk daripada sebangsanya?

Sekiranya Gerakan dan parti-parti lain boleh melakukan semua ini, mungkin tindakan tegas terhadap Ahmad boleh diambil kerana dikatakan dan didakwa bersifat perkauman.

Sekiranya mereka tidak boleh melakukan apa yang dinyatakan di sini, maka lebih baik duduk diam sahaja. Atau cerminkan diri dan bertanya "apakah aku pun memelihara kepentingan kaum aku juga, sepertimana mereka?"...

Pendek kata, siapakah yang lebih bersifat rasis daripada yang dituduh rasis?

Oleh Zukri Valenteno

Tuesday, August 19, 2008

PAS menyepi di Permatang Pauh


Semasa penamaan calon Pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 16 Ogos di Maktab Tuanku Bainun, hanya Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan ayahnya, Kit Siang kelihatan ke hulu hilir mengiringi Anwar Ibrahim.

Ia seolah-olah membuktikan kemenangan Anwar begitu penting hanya kepada DAP selain Anwar sendiri. Berdasarkan ini maka DAP kelihatan seharusnya habis-habisan membantu Anwar menang di parlimen P44.

Malah di atas pentas utama, dua watak ini juga mengepung Anwar Ibrahim dan isterinya, Wan Azizah. Tiada watak utama dari PAS yang hadir kecuali Husam Musa (Naib Presiden PAS) yang merupakan anak didik Anwar. Di Permatang Pauh sendiri, belum ada satu pun Bilik Gerakan PAS dibina untuk menolong Anwar di Permatang Pauh. Apakah ini bunga tanda-tanda awal menunjukan PAS akan memboikot Anwar di Permatang Pauh?

Disusun dari blog Angin Perubahan