Saturday, March 22, 2008

Zionis menyokong Anwar Ibrahim? Anwar Ibrahim: Perdana Menteri Malaysia Akan Datang?


Terjemahan rencana oleh Shani Ross, Kordinator bagi Program Eksekutif & Persidangan di Institute Antarabangsa Anti Pengganasan (ICT), Pusat Antara Disiplin Herzliya, Israel (International Institute for Counter-Terrorism (ICT), Interdisciplinary Centre).

Diterbitkan dalam akhbar Israel, Jerusalem Post pada Mac 20, 2008


Parti-parti pembangkang Malaysia telah meraih kejayaan signifikan pada pilihan raya parlimen yang diadakan pada Ahad, 8 Mac. Kejayaan mereka mencerminkan gelora desakan ke arah perubahan politik yang semakin berkembang seiring anjakan demokrasi yang semakin meluas di Malaysia.

Keputusan pilihan raya tersebut bermakna parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak lagi menguasai 2/3 majoriti di parlimen. Ia bermakna kuasanya kini sedikit sebanyak terhad, contohnya kerajaan tidak akan dapat melakukan sebarang pindaan terhadap perlembagaan atau membuat sebarang perlantikan penting tanpa sokongan daripada pembangkang.

Kesimpulannya, keputusan pilihan raya itu mewujudnya satu mekanisme imbangan (check and balance) yang merupakan prinsip amat perlu dalam mana-mana demokrasi tulen.

Parti pembangkang yang terbesar, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi, iaitu kemenangan signifikan berbanding kemenangan hanya satu kerusi pada pilihan raya umum 2004. Ramai yang beranggapan kejayaan PKR kali ini disebabkan pemulihan-semula karier politik bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sebagai seorang pejuang Islam moderat, keadilan beragama dan budaya serta demokrasi liberal, populariti Anwar semakin bertenaga hinggakan terdapat laporan yang meramalkan beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya pembangkang terus menang pada pilihan raya akan datang.

Anwar memulakan karier politiknya pada 1982 apabila memasuki UMNO, yang kini parti terbesar dalam pakatan pemerintahan Barisan Nasional (BN). Parti UMNO pernah dipimpin Mahathir Mohamad, iaitu Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan tersebut.

Pada 1991, Anwar dilantik menjadi Menteri Kewangan dan kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Penggal Anwar sebagai Menteri Kewangan merangsangkan perkembangan dan kesejahteraan ekonomi yang tidak pernah dirasai sebelum itu. Kejayaan tersebut telah menjulang populariti dan sokongan terhadap dirinya.

Bagaimanapun, karier politik beliau terhenti secara tiba-tiba apabila beliau menyuarakan tentangan kuat terhadap program Mahathir yang menyokong kaum Bumiputera. Ini telah membawa kepada beberapa tuduhan jenayah terhadap Anwar bersabit rasuah dan liwat (hukuman bagi kedua-duanya ialah 6 dan 9 tahun setiap satu, tetapi pada 2004 beliau didapati tidak bersalah bersabit tuduhan meliwat.)

Walaupun pernah menghadapi hukuman jenayah, Anwar muncul sebagai ikon kemajuan politik, keadilan dan kesaksamaan. Sepanjang beberapa tahun ketika itu beliau mendapat sokongan kuat berikutan usaha-usaha yang dilakukan oleh isterinya, Wan Azizah Ismail yang mengasaskan PKR pada 1999 dengan tujuan mendapatkan kebebasan untuk suaminya.

PKR seterusnya telah memastikan kesinambungan agenda reformasi politik. Sejak pembebasannya dari penjara, Anwar meneruskan kempen politiknya. Beliau mencabar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dengan membangkitkan pelbagai isu, terutama 'Dasar Ekonomi Baru.'

Terbetuk pada lewat tahun 70an (kini dikenali sebagai Dasar Pembangunan Kebangsaan), tujuan dasar tersebut ialah untuk mewujudkan suasana perpaduan kebangsaan dengan cara mengurangkan jurang perbezaan di antara masyarakat etnik. Tetapi, bagaimanapun realitinya menghasilkan satu suasana di mana kaum Bumiputera menerima keistimewaan yang membawa kepada peningkatan bilangan kelas perengahan Melayu dan seterusnya mencetuskan tentangan daripada kaum etnik India dan Cina yang tidak menikmati sebarang keuntungan.

Anwar telah menerima pelbagai pujian di atas beberapa kejayaan mewujudkan perpaduan dikalangan parti-parti pembangkang. Ini telah membawa kepada penubuhan satu pakatan yang akhirnya mendapat kemenangan besar, iaitu 82 kerusi daripada jumlah 222 kerusi yang dipertandingankan pada pilihan raya baru-baru ini.

Dianggap di antara pemidato paling berkarisma di Malaysia, penjelmaan Anwar di pletfom politik PKR kini semakin berkembang pesat. Pada Februari 2008, PKR telah menerbitkan satu Manifesto Keadilan berjodol "Subuh yang Baru Untuk Malaysi." Manifesto tersebut menggariskan visi parti ke arah usaha megembalikan Malaysia ke landasan kesejahteraan ekonomi, politik, pendidikan dan kebudayaan yang mantap. Dengan penumpuan kepada lima strategi utama, PKR menganjurkan perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara berperlembagaan untuk semua di mana hak-hak Bumiputera dijamin sepenuhnya bersamaan hak-hak bukan Bumiputera, lantaran membentuk suasana politik yang tidak berasakan kaum.

Dengan peningkatan rasa tidak puas hati rakyat terhadap status quo politik sekarang ini, agenda reformasi PKR seperti di perjuangkan Anwar dilihat sebagai satu-satunya perubahan yang semakin diinginkan oleh rakyat Malaysia. Larangan politik ke atas Anwar akan berakhir pada hujung April depan, dan sekiranya benar apa yang dilaporkan, beliau akan menang dengan mudah dalam pilihan raya kecil dan seterusnya meneruskan peranannya di parlimen setelah isterinya mengosongkan kerusi.

Beberapa penganalisis meramalkan sejurus setelah kembali ke arena politik, Anwar perlu terus membuktikan kecekapannya. Beliau perlu memastikan parti-parti pembangkang yang telah begitu lama berpecah bersepadu dalam pakatan ke arahs melakukan perubahan di negeri-negeri di mana mereka memegang majoriti. Sekiranya mereka boleh melakukan ini, para penganalisis seterusnya meramalkan pakatan pembangkang itu akan mendapat peluang besar untuk menewaskan parti pemerintah pada pilihan raya 2013 dan akan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

No comments: