Thursday, July 3, 2008

Najib: akuan bersumpah pembohongan, fitnah

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan kononnya beliau mengenali dan berjumpa Altantuya Shaariibuu seperti terkandung dalam akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam pembohongan yang amat dashyat.

Menegaskan tuduhan itu rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mencemar imejnya, Timbalan Perdana Menteri sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan Altantuya.

Najib berkata apa yang penting sekarang ialah rakyat mahu tahu sama ada perkara kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat PKR itu benar berlaku atau sebaliknya.

Berhubung akuan bersumpah itu, Najib berkata oleh kerana akuan itu sub judis dengan kenyataan di mahkamah dan juga dengan laporan Balasundramaniam kepada polis, maka beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuhnya perkara itu.

Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis terhadap Balasundramaniam atau mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Mengenai sama ada beliau menyifatkan pendedahan itu serangan peribadi daripada Anwar, Najib berkata: "Soalnya mengapa ia berlaku sekarang setelah kes liwat itu timbul, tiba-tiba semua pihak diserang, Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) diserang, Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail), saya diserang, kenapa sekarang".
"Ini persoalannya, jadi kita tidak boleh alih daripada isu utama, iaitu sama ada kes liwat itu berlaku atau tidak... ini yang kita hendak tahu," katanya.

Anwar semalam membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor terhadap Musa dan Abdul Gani, mendakwa kedua-duanya menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadap Anwar oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor pada 20 Sept 1998.

Laporan itu dibuat susulan laporan polis oleh pembantu Anwar Khamis lepas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpuri yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar di sebuah kondominium di Bukit Damansara.

Ditanya mengapa beliau merasakan Anwar sengaja menyerang peribadinya dengan menggunakan kes tersebut, Najib berkata beliau tidak pasti.

Balasubramaniam yang turut dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, hari ini turut mengedarkan kepada media salinan akuan bersumpah itu dan memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.

Penyiasat persendirian itu berbuat demikian pada sidang media bersama Anwar di ibu pejabat PKR Petaling Jaya.

No comments: